MELAKA, 29 Mei – Naikkan Imej Pulau Besar Semula…… Kerajaan negeri bakal membina sebuah masjid dan jeti baharu di Pulau Besar dalam usaha menaikkan semula imej pulau itu sebagai antara lokasi terawal penyebaran agama Islam di rantau ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pembinaan masjid dan jeti itu membabitkan peruntukan sebanyak RM12 juta dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

“Masjid baharu ini akan dibina di atas tapak surau sedia ada, manakala jeti baharu pula dibina berhadapan dengan masjid. Apabila siap, masjid ini dijangka mampu memuatkan seramai 800 jemaah pada satu-satu masa.

“Ia juga dijangka mempunyai sebuah dataran yang dapat memuatkan seramai 3,000 hingga 5,000 jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat pembinaan masjid baharu di Pulau Besar, di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Abdul Azeez Rahim dan EXCO Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Abdul Ghafar Atan.

Dalam lawatan itu, Idris turut mengimamkan solat Zohor seterusnya mengetuai bacaan tahlil dan menyampaikan sumbangan kepada 100 pelajar Sekolah Menengah Tahfiz al-Quran Pulau Besar, di sini.

Idris berkata, bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengunjung, masjid baharu itu juga akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) serta kemudahan untuk golongan kurang upaya (OKU), selain menempatkan pondok polis.

“Kita yakin, dengan menempatkan anggota polis serta pengawasan CCTV dapat menghindari perbuatan tidak elok pengunjung, seterusnya mencegah kegiatan khurafat,” katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY