SUBANG, 7 April – Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata
kerja membaik pulih kerosakan infrastruktur akibat banjir tahun lepas bagi
tempoh jangka panjang di kawasan pantai timur, yang menelan kos RM2 bilion,
dijangka siap tahun ini.

Menurut beliau setakat ini kerja baik pulih infrastruktur bagi tempoh
sementara telah siap sepenuhnya dan fokus yang lebih diberikan bagi kerja
pembaikan untuk jangka panjang.

“Setakat ini kerja baik pulih untuk jangka panjang telah siap lebih kurang
50 peratus,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Seminar Memastikan Iklim Ketahanan
Bangunan dan Infrastruktur ke Arah Infrastruktur Mampan.

Tambah Fadillah, masa yang lebih panjang diperlukan bagi membina semula
bangunan-bangunan seperti sekolah, hospital dan balai polis.

Terdahulu, Fadillah dalam ucapannya berkata kerajaan bakal menubuhkan
sebuah pusat kecemerlangan bagi kelestarian infrastruktur yang mengambil kira
kemampanan bangunan serta perubahan iklim yang semakin serius.

Pada masa ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sedang
mendapatkan khidmat beberapa institusi terkemuka termasuk Universiti Harvard dan
sebuah syarikat perunding untuk merancang dengan teliti objektif penubuhan pusat
ini, katanya. – Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY