KUALA LUMPUR, 27 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
akan memperuntuk RM4 bilion dalam jangka masa lima tahun bermula tahun ini bagi
menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang bersih, ceria serta
dipenuhi kehijauan.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk, Mhd Amin Nordin Abdul Aziz peruntukan
itu akan melibatkan pembinaan dewan orang ramai, penambahbaikan jalan raya,
jejantas dan taman awam seperti Taman Tasik Permaisuri dan Taman Tasik Titiwangsa.

“Pembinaan infrastruktur ini akan turut merancakkan peluang perniagaan yang
sekali gus dapat menambah hasil cukai DBKL yang akan dikembalikan semula kepada
rakyat,” katanya.

Beliau menghadiri majlis meraikan pelantikannya sebagai Datuk Bandar Kuala
Lumpur Ke-11, di Menara DBKL di sini hari ini.

Mhd Amin menyandang jawatan tersebut pada 20 Julai lepas menggantikan Tan
Sri Ahmad Phesal Talib.

Beliau turut mengumumkan penstrukturan semula organisasi DBKL berkuat kuasa
1 Ogos ini termasuk menyatukan jawatan Datuk Bandar dan Ketua Pengarah DBKL
manakala jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBKL akan diambil alih
pengarah-pengarah eksekutif sedia ada.

Beliau berkata DBKL juga akan menyatukan jabatan di bawahnya yang mempunyai
skop tugas hampir sama seperti Jabatan Pengangkutan Bandar dan Jabatan Kerja
Awam yang memfokus kepada kerja-kerja kejuruteraan awam.

Ini termasuk menyatukan Jabatan Perancangan Bandar dan Jabatan Perancangan
Fizikal yang memfokuskan kepada kerja perancangan bandar, katanya.

“Penstrukturan ini bertujuan mengurangkan karenah birokrasi dan
menyelesaikan tugas dengan lebih cepat, pantas dan berkesan,” tambahnya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY