BEIJING, 12 Jan – Sindiket Perjudian……. Pihak polis Malaysia-China melumpuhkan sindiket judi dan penipuan bernilai RMB20 bilion (RM13 bilion) didalangi rakyat republik itu yang berpangkalan di Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia turut membabitkan penahanan 744 rakyat negara itu.

Beliau berkata, operasi polis kedua-dua negara dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dengan China membantu menyediakan data serta maklumat kegiatan sindiket yang menggunakan Malaysia sebagai pangkalan.

“Kerajaan China menghargai bantuan Malaysia dalam menyelamatkan ramai rakyatnya daripada menjadi mangsa sindiket berkenaan,” katanya kepada media Malaysia, hari ini.

Mengenai kegiatan militan Daesh, Timbalan Perdana Menteri, berkata maklumat awal pihak keselamatan China membolehkan polis Malaysia menahan 28 rakyat republik berkenaan yang dalam transit ke Turki menyertai militan di Iraq serta Syria.

“Mereka yang dibiayai oleh Pergerakan Islam Timur Turkestan sudah dihantar pulang ke China.

“Pada masa sama, polis Malaysia menahan 260 rakyat China yang mempunyai kaitan dengan Daesh,” katanya. – WD MY