PUTRAJAYA, 11 Jan – LESTARIKAN…Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan membelanjakan RM246.5 juta untuk melestarikan Cameron Highlands melalui Op Gading sejak tahun 2014 sehingga tahun lepas.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jumlah tersebut termasuk RM88 juta yang dibelanjakan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam projek untuk mendalamkan empangan sebagai langkah mencegah banjir.

“Ini jelas menunjukkan usaha berterusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam melestarikan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan tersohor serta meningkatkan pengeluaran hasil ekonomi negara melalui aktiviti pertanian mampan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan Ahmad Zahid bersama-sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini, hari ini.

Fokus mesyuarat jawatankuasa itu yang pertama bagi tahun ini selepas kali terakhir diadakan pada Mei tahun lepas adalah untuk menilai status tindakan yang diambil oleh agensi-agensi berkenaan sepanjang tahun lepas serta membincangkan pelan tindakan pemulihan Cameron Highlands bagi tahun ini.

“Secara keseluruhannya, tindakan pemulihan Cameron Highlands melalui Op Gading pada tahun 2017 telah berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat operasi,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata mesyuarat hari ini memutuskan empat perkara utama untuk meneruskan tindakan pemulihan Cameron Highlands.

Antaranya MKN meneruskan peranan sebagai agensi peneraju di Cameron Highlands dan menyelaras pelaksanaan Op Gading IV secara bersepadu dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang, katanya.

Selain itu, katanya sisa aluminium, besi, kayu daripada struktur rumah plastik yang dimusnahkan semasa Op Gading I dan Op Gading II di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) perlu dilupus dan dibersihkan dengan segera.

“Pesawat helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut digunakan dalam operasi tinjauan udara dan operasi membantu semasa bencana alam sekiranya diperlukan,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata satu projek mitigasi cerun yang bernilai RM1.15 juta di penempatan Orang Asli Sungai Tiang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari ini.

“Dengan terlaksananya projek mitigasi ini, sejumlah 13 rumah (seramai 28 keluarga) Orang Asli yang tinggal di Sungai Tiang tidak lagi perlu berpindah kerana lokasi sedia ada dijamin selamat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan Op Gading I sehingga Op Gading III pada tahun lepas berjaya mengekang kegiatan penerokaan tanah kerajaan secara haram serta turut memastikan pelaksanaan kerja tebatan banjir dan pembersihan sungai berjalan lancar bagi menghindari berlakunya bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh.

Beliau berkata program penghijauan semula Cameron Highlands di kawasan HSK dan kawasan yang telah dibuat pemutihan giat dilaksanakan dengan memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada mereka yang layak terutama pengusaha yang bergantung kepada hasil pertanian untuk menyara keluarga.

“Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang dalam operasi ini juga telah memastikan pengambilan tenaga kerja asing adalah lebih terurus dan seterusnya memastikan dalam jangka panjang pengeluaran hasil pertanian tidak terjejas,” katanya. – WD MY