KUALA LUMPUR, 16 Jan – Tabung Pahlawan…….. Hampir Kira-kira RM3.15 juta berjaya dikumpul di seluruh negara sempena Kempen Tabung Pahlawan yang dilancar pada 31 Julai lalu.

Menurut Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor daripada jumlah itu, RM2.7 juta dikumpul di peringkat pusat, manakala selebihnya adalah hasil kutipan persatuan negeri.

“Kutipan yang diterima kali ini adalah menggalakkan dan lebih baik berbanding jumlah kutipan tahun lalu iaitu RM1.9 juta.

“Bagaimanapun, ia masih belum mencapai sasaran RM5 juta yang kami tetapkan setiap tahun untuk tabung ini.

“Kami akan berusaha mengadakan pelbagai lagi program bagi memastikan sasaran ini tercapai,” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan daripada Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di Bangunan Parlimen, hari ini.

BNBBC yang diwakilinya pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad menyumbang sebanyak RM24,000 kepada tabung itu.

Shahrir berkata, ini adalah kali pertama BNBBC menyumbang kepada Tabung Hari Pahlawan dan usaha itu akan diteruskan pada tahun akan datang.

“Kutipan yang kita serahkan hari ini adalah sumbangan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional dan kita akan terus menyumbang di tahun akan datang sebagai mengenang jasa veteran ATM,” katanya. – WD MY