KUALA LUMPUR, 20 Jan – Tubuhkan…… Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi setiap koperasi untuk menubuhkan Kedai Harga Patut.

Datuk Hamzah Zainuddin, berkata ia sebagai usaha memperkasakan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan bagi menyediakan barangan keperluan harian kepada masyarakat pada harga berpatutan sekali gus membantu menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya sudah mengenal pasti lebih 30 koperasi di setiap kawasan parlimen di seluruh negara sebagai perintis program berkenaan.

“Sebanyak RM150,000 akan diberikan kepada koperasi yang mempunyai modal sekurang-kurangnya RM30,000 sebagai kriteria layak menerima dana berkenaan.

Ia diperuntukkan bagi membantu menaik taraf kedai, membeli peralatan serta melaksanakan sistem “point of sales” (POS).

“Selepas itu, RM150,000 akan ditambah apabila ahli lembaga pengarah selaku wakil koperasi wajib menghadiri kursus peruncitan dan pemborongan.

Ia bertujuan membantu koperasi membeli stok barangan kedai sahaja.

“Namun, RM300,000 bukan keseluruhannya ditawarkan dalam bentuk bantuan.

“Separuh daripada nilai itu masing-masing disediakan dalam bentuk bantuan dan pinjaman,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Pemerkasaan Sektor Pemborongan dan Peruncitan di sini, hari ini. – WD MY