BEIJING, 11 Jan – Sasarkan…… Seramai 1.7 juta pelancong China berbelanja kira-kira RM5.7 bilion pada 2015 di Malaysia, antara destinasi percutian popular dalam kalangan rakyat negara itu.

Setiap pelancong berbelanja RM3,500 untuk purata enam hari berada di negara ini atau RM500 sehari kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata jumlah kedatangan dan perbelanjaan itu dijangka meningkat berikutan pelaksanaan pelaksanaan program pengecualian visa rakyat China pada Mac tahun lalu.

“Pada 2015, kira-kira 1.2 juta pelancong China memohon visa ke negara ini (tidak termasuk 500,000 yang menetap di luar China),” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid dalam lawatan enam hari ke China bermula di Beijing sebelum berlepas ke Kunming, Wilayah Yunan, pada Jumaat ini.

Katanya, pelaksanaan program pengecualian visa membabitkan e-visa (permohonan dalam talian) dan Entri (maklumat pendaftaran pelancong elektronik) Mac lalu mencatatkan peningkatan 74 peratus permohonan kemasukan ke Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, dalam pertemuan dengan Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun, beliau menyampaikan penghargaan Kerajaan Malaysia kepada republik itu yang memberi kerjasama pelaksanaan program berkenaan.

Selain itu, katanya, Malaysia meminta keizinan untuk menambah penerbangan secara sewa iaitu 120 penerbangan tahun lalu, bagi memudahkan pelancong yang menetap jauh dari lapangan terbang mendapatkan perkhidmatan pesawat.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mahu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta penggiat industri melakukan promosi bagi menarik lebih pelancong China.

Katanya, berdasarkan statistik kerajaan China kira-kira 64 juta rakyat negara itu memohon untuk melancong tahun lalu, dan hanya 2.2 juta permohonan kemasukan ke Malaysia.

“Kita akan mohon bajet tambahan untuk pelbagai promosi tarik pelancong China kerana ada banyak ruang untuk ditingkatkan. Jumlah yang kita ada kecil, berbanding jumlah rakyat China melancong, ” katanya. – WD MY