KUALA LUMPUR 17 Dis. – PERUNTUKAN….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan akan memberi peruntukan tahunan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebanyak RM10 juta bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah dapat dikurangkan.

Ahmad Zahid berkata RM5 juta daripada peruntukan itu akan diberi secara tetap kepada Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (Pemadam) menerusi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula tahun depan.

Baki RM5 juta lagi akan diperuntukkan kepada NGO-NGO, kelab-kelab antidadah di sekolah dan universiti.

“Mesti ada peruntukan daripada AADK diberikan kepada seluruh NGO seluruh negara. Peruntukan tanpa perlu surat permohonan sebanyak RM5 juta akan diberikan kepada Pemadam.

“Jika kes penyalahgunaan dadah gagal dikurangkan 50 peratus menjelang Disember tahun depan, saya akan tarik balik peruntukan itu daripada NGO-NGO semua,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pemadam hari ini.

Dalam pada masa sama, kerajaan tekad bahawa sebarang usaha untuk menghalalkan penggunaan dadah dilihat sebagai di luar norma kemanusiaan kerana penyalahgunaan bahan itu mengundang pelbagai masalah sosial dan jenayah.

“Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi walaupun ada resolusi yang dibuat badan-badan antarabangsa untuk menghalalkan penggunaan dadah membahaya.

“Kerajaan berpendirian bahawa selagi penagihan dadah tidak dihapuskan 100 peratus maka selagi itulah permasalahan sosial melalui penagihan dadah dan pelakuan jenayah disebabkan oleh penagihan dadah ini berlaku,” katanya.

Katanya, bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, Malaysia lebih menggunakan pendekatan holistik dengan menumpukan kepada usaha pembanterasan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan pengeluarannya.

 

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan turut menekankan kepada aspek pemulihan kepada penagih dadah selain penerapan unsur keagamaan ke dalam diri mereka.

Beberapa negara Eropah dan Amerika Selatan dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada PBB supaya mengeluarkan resolusi untuk membenarkan penggunaan dadah secara persendirian.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut menggesa agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk bekerjasama mengenal pasti pendekatan yang lebih holistik bagi menangani aktiviti penghasilan dan pengedaran dadah seterusnya membasmi kes penyalahgunaan bahan itu.

Katanya, langkah itu berikutan perubahan dalam aktiviti jenayah itu yang kini telah beralih kepada penghasilan dan pengedaran dadah sintetik yang sukar dikesan dan lebih memudaratkan berbanding dadah konvensional seperti ganja, heroin dan morfin.

Dalam pada itu beliau turut mengakui bahawa usaha membasmi penyalahgunaan dadah sehingga kini masih tidak berjaya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan dan banyak peruntukkan telah dibelanjakan.

Menurut beliau, salah satu faktor menyebabkan kegagalan itu adalah kerana permasalahan itu diletakkan di bahu kerajaan semata-mata sedangkan usaha perlu dilakukan secara bersama oleh pelbagai pihak termasuk institusi keluarga dan masyarakat.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta kepada Pemadam dan NGO (masing-masing RM5 juta) bagi menjalankan usaha-usaha mengurangkan gelaja penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di bawah Kementerian Dalam Negeri sebelum diagihkan kepada NGO berkenaan mulai tahun hadapan.

“Semoga dengan peruntukkan RM10 juta ini akan dapat digunakan sepenuhnya dan saya mahu lihat penurunan 50 peratus kes penagihan dadah pada tahun hadapan,” katanya. – WD MY