KUALA LUMPUR, 7 Ogos – MRT…… Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim melakukan tinjauan serta meneliti kemudahan pengangkutan awam mesra OKU bagi fasa kedua Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Beliau bersama 20 orang kurang upaya (OKU) termasuk lapan warga emas merasai pengalaman menaiki Transit Aliran Massa (MRT) merentasi empat stesen bermula Stesen Tun Razak Exchange (TRX) ke Muzium Negara.

Rohani bangga kemudahan itu mempamerkan Malaysia ke arah negara maju tetapi tidak mengabaikan keperluan OKU dan warga emas.

“Kita membawa warga emas, golongan OKU fizikal, penglihatan, pendengaran dan orang kerdil merasai kemudahan ini dan meneliti bentuk kemudahan yang perlu ditambah-baik.

“Setakat ini, 70 peratus mereka bersetuju kemudahan MRT di sini mesra pengguna dan mengesyorkan supaya disediakan tandas OKU mengikut jantina.

“Berdasarkan pemerhatian, hanya satu tandas disediakan di stesen TRX,” kata

Hadir sama, Pengarah Projek Laluan MRT Corp Laluan SB, Marcus Karakashian.

Rohani berkata, pihaknya menghargai kemudahan MRT untuk semua peringkat golongan termasuk semua lapan golongan sasar di bawah kementerian itu.

“Bagaimanapun, sebagai permulaan, saya mencadangkan supaya Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menempatkan sukarelawan di setiap stesen untuk membantu OKU, menambahkan bilangan papan tanda dan blok batuan pejalan kaki, berikutan pengguna perlukan masa untuk menyesuaikan diri,” katanya. – WD MY