FLORIDA, 12 APRIL – ROKET….. Roket berkuasa tinggi paling hebat dunia, SpaceX Falcon Heavy melancarkan penerbangan komersil pertama semalam dari Florida dalam pertunjukan khas syarikat angkasa milik hartawan Elon Musk, sebagai usaha memenangi kontrak bernilai jutaan dolar.

Heavy, pesawat setinggi 23 tingkat itu yang sebelum ini melancarkan kereta Tesla berwarna merah ceri milik Musk ke angkasa pada penerbangan ujian sulung tahun lalu, berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di sini dengan membawa penumpang pertama.

Pengulas pelancaran SpaceX, John Insprucker dalam siaran langsung upacara itu berkata, pesawat Falcon Heavy berlepas ke angkasa dalam tempoh 33 saat dengan kuasa lonjakan 5.1 juta paun.

Kira-kira tiga minit selepas meninggalkan pad pelancar, dua enjin sisi Heavy dipisahkan dari pesawat utama untuk pendaratan serentak di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral.

Orang ramai melihat pelancaran roket SpaceX Falcon Heavy Lift di NASA Kennedy Space Center di Titusville, Florida. – Foto AFP

Enjin tengah pesawat pula kembali hampir 10 minit selepas itu untuk mendarat dengan selamat di atas kapal dron laut SpaceX, 645 kilometer di luar perairan Florida.

Dalam penerbangan ujian 2018, enjin utama Heavy terlepas kedudukan kapal dron berkenaan dan terhempas ke dalam Lautan Atlantik.

Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) menggunakan SpaceX tahun lalu untuk melancarkan satelit sulit tentera bernilai AS$130 juta (RM536 juta) dan pada Februari lali, menambah tiga lagi misi dalam kontrak bernilai AS$297 juta (RM1.22 bilion). – WD MY