KUALA LUMPUR, 2 Mac – CUEPACS meminta kerajaan merombak dan menyusun semula Dasar Perumahan Negara bagi membolehkan kawalan pasaran hartanah dan perumahan dilakukan.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata rombakan itu perlu bagi membolehkan golongan sasar, terutama kumpulan M40 dan B40 (golongan berpendapatan 40 peratus terendah) mampu memiliki rumah sendiri.

Beliau juga menggesa kerajaan campur tangan dalam proses penjualan hartanah di kawasan strategik di negara ini biarpun hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri dan bukan kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan perlu campur tangan dalam penentuan harga rumah, bukan ditentukan mengikut pasaran semata-mata yang ketika ini tidak mampu dibeli rakyat. Malah kita juga mahu kerajaan mengecualikan duti setem kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Sebagai langkah penyelesaian juga, Azih berkata, CEUPACS mencadangkan penubuhan Tabung Warisan Negara yang turut berfungsi sebagai bank tanah bagi menjamin kelangsungan pemilikan hartanah pada generasi akan datang.

“Peruntukannya juga boleh disalurkan menerusi pengumuman belanjawan setiap tahun,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Perumahan Penjawat Awam 2016 bertemakan Rumah Idaman Menjamin Kualiti Hidup, di sini sebentar tadi.

Konvensyen dua hari berakhir esok dianjurkan oleh ANGKASA dan CUEPACS bagi membincangkan isu dan cabaran pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam. Mengikut perangkaan, kira-kira 45 peratus daripada 1.4 juta penjawat di negara ini masih belum memiliki rumah.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Yang turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

.

LEAVE A REPLY