KUALA LUMPUR, 24 Mei – Rombakan…. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan rombakan besar-besaran dengan menukarkan 15 pegawai dan anggota Kontinjen Melaka yang terbabit dengan salah guna kuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata arahan pertukaran berkuat kuasa serta-merta susulan penahanan lapan pegawai dan anggotanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk dua Ketua Polis Daerah, baru-baru ini.

Rombakan itu, katanya, adalah fasa pertama dan langkah seterusnya akan dilakukan secara berterusan.

“Saya akan ke Melaka pada Jumaat ini untuk bertemu dengan anggota kontinjen,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-210 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Khalid berkata, PDRM memandang serius isu integriti dan tidak berkompromi dengan anggota yang melakukan kesalahan.

Katanya, siasatan dalaman turut dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap anggota yang tidak menjalankan tugas dengan betul.

“Setakat ini, JIPS sudah menahan 21 anggota membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan jabatan lain,” katanya. – WD MY