Rombakan PDRM Tidak Dihebahkan Kepada Umum – TPM

0
76

DENGKIL, 22 Mei – Pertukaran….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pertukaran dan rombakan dalaman besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilakukan kini tidak diumum secara terperinci bagi mengelak persepsi negatif.

Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan mengelak prasangka apabila pegawai berkenaan ditempatkan mengikut kesesuaian.

“Biarpun kita menghargai pemantauan dan penguatkuasaan agensi di luar PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), publisiti berlebihan akan menyebabkan persepsi negatif dalam kalangan umum.

“Seperti dikatakan Timbalan Ketua Polis Negara (Tan Sri Noor Rashid Ibrahim), saya menyambut baik langkah

yang dilakukan untuk membetulkan organisasi penguatkuasaan ini dari dalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program makan tengah hari dan solat Zuhur di Surau Kampung Orang Asli Bukit Dugang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya komited melakukan rombakan dan perubahan terbaik selepas mengambil kira rungutan rakyat dan komen netizen di laman sosial mengenai PDRM.

“Beri kepercayaan kepada saya dan pimpinan utama PDRM melakukan sesuatu yang baik demi rakyat dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Noor Rashid yang turut hadir pada majlis berkenaan, berkata pihaknya mahu kakitangan PDRM menjalankan tanggungjawab seperti diamanahkan.

“Berkaitan apa yang berlaku, kita sudah dan sedang ambil tindakan membetulkannya. Kita mahu pastikan pegawai menjalankan tugas dengan amanah.

“Apa yang dihadapi ini berlaku dalam mana-mana operasi penguatkuasaan. Kita perlu menghadapinya dan kaji sistem sedia ada.

“Banyak faktor perlu diambil kira seperti persekolahan anak dan kos perpindahan, yang ada kalanya

menyaksikan seseorang pegawai berkhidmat terlalu lama di tempat sensitif meskipun ada dasar menetapkan perlu bertukar setiap tiga tahun.

Ahmad Zahid turut mengumumkan akan bersama KDN, PDRM serta pejabatnya ke seluruh negara sepanjang Ramadan untuk berbuka puasa bersama anak buah peringkat negeri dan daerah. – WD MY