SUNGAI PETANI, 16 DIS – Rompak….. Dua lelaki hanya mengambil masa dua minit untuk menyamun sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim, sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000.

Dalam kejadian jam 2.50 petang semalam…. premis terbabit dikatakan didatangi seorang lelaki memakai topi keledar bertutup penuh dan berbaju sejuk, dengan bersenjatakan pistol serta tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata suspek didakwa menyimpan pistol dan tukul besi di dalam sebuah beg galas sebelum mengeluarkannya ketika memasuki kedai emas berkenaan.

Beliau berkata, ketika kejadian, ada tiga pekerja dan seorang pemilik kedai berada di dalam premis itu, selain sepasang pelanggan yang bagaimanapun sempat melarikan diri.

“Selepas suspek masuk ke dalam kedai emas itu, pemiliknya menyedari dia mengeluarkan tukul besi untuk memecahkan cermin pameran. Bagaimanapun, pemilik kedai berkenaan tidak menyedari suspek ada pistol.

“Pemilik kedai bertindak mencucuk suspek menggunakan rotan dari ruang dalam kedai untuk mengusirnya. Bagaimanapun, suspek terus mengambil barang kemas di ruang pameran yang dipecahkan sebelum keluar dari kedai berkenaan,” katanya.

Adzli berkata, suspek sempat melepaskan dua das tembakan ke arah pemilik kedai emas itu sebelum melarikan diri, namun tembakan mengenai besi di dalam kedai berkenaan.

Beliau berkata, suspek kemudian dipercayai melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang menunggu di luar dengan menunggang motosikal.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana samun dan melepaskan tembakan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati.

“Kita meminta pasangan pelanggan yang ada ketika kejadian atau sesiapa yang ada maklumat untuk tampil membantu siasatan berhubung kejadian ini,” katanya. – WD MY