KUALA LUMPUR, 12 APRIL – SIFATKAN… menyifatkan, penyelewengan yang didedahkan menerusi Kertas Putih FELDA yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat semalam, sebagai satu ‘rompakan secara terang-terangan’.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, menasihati penjawat awam agar menjadikan kes FELDA yang dibentangkan itu sebagai iktibar dalam membuat keputusan.

Beliau berkata, adalah suatu perkara yang menyedihkan apabila melihat sebuah institusi yang gah seperti FELDA, kini terpaksa berdepan situasi yang didedahkan itu.

“Kertas Putih adalah untuk kita melihat dari segi harga dan proses (pelaburan) dilakukan. Ia amat menyedihkan untuk melihat satu institusi yang patut dibela dan wang yang ada dibelanjakan sehingga mengalami kerugiaan. Inilah kerisauan kita,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum itu berucap di hadapan penjawat awam mengenai Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) semalam.

Program itu adalah sebahagian daripada pengisian sambutan 60 tahun penubuhan INTAN sejak 1959.

Abu Kassim menegaskan pihak berkuasa kini perlu mengambil tindakan terhadap perkara-perkara yang melanggar undang-undang seperti dibentangkan dalam Kertas Putih itu.

“Lakukan apa sahaja yang perlu jika ia dilihat melanggar undang-undang tetapi apa yang penting langkah pada masa hadapan ini, apa yang perlu dilaksana (mengukuhkan FELDA).

“Saya tidak tahu sama ada kes ini berlaku pada masa saya atau tidak (bertugas dengan SPRM) atau secara berterusan tetapi jika perlu ambil tindakan, ambil tindakan,” katanya ketika ditanya apakah tindakan lanjut yang perlu dilaksanakan kerajaan terutama SPRM.

Abu Kassim berkata, ada di antara perkara yang didedahkan dalam Kertas Putih itu sudah diketahui kerana sudah disiasat oleh SPRM tetapi ada juga yang tidak diketahui.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika membentangkan Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat kelmarin, mendedahkan betapa kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.

Azmin berkata, kerajaan terpaksa menyediakan pakej kewangan RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan secara berperingkat, sejajar usaha memulihkan kepincangan yang berpunca daripada kedurjanaan urus tadbir korporat pengurusan lama FELDA. – WD MY