PUTRAJAYA, 2 Mac – TEGAS…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bertindak profesional dalam mengendalikan isu pendaftaran pakatan harapan (PH) kerana ia turut berkait dengan siasatan yang sedang dijalankan terhadap status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Penyelesaian terhadap permohonan pendaftaran PH tidak boleh mengetepikan isu PPBM begitu sahaja, kerana parti itu adalah komponen utama dalam pakatan parti pembangkang berkenaan.

“Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Ketua Pengarah ROS (Surayati Ibrahim), penelitian sedang dilakukan bukan sahaja terhadap permohonan (pendaftaran PH) itu tetapi juga aduan yang dibuat oleh ahli PPBM.

“PPBM sebagai salah satu komponen dalam PH, saya berpendapat ROS sedang berlaku adil dan menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid meminta semua pihak tidak lagi mempolemikkan isu berkaitan tokoh korporat, Robert Kuok.

Kuok juga sudah membuat penjelasan bahawa beliau menghargai setiap peluang diberikan kepadanya, selain mengiktiraf sumbangan oleh semua rakyat Malaysia kepada pembangunan negara.

“Perkara ini sudah diselesaikan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan beliau sudah memberitahu bukan hanya kepada rakan dalam parti komponen, malah Jemaah Menteri supaya apa yang sudah diperjelaskan oleh Robert Kuok itu diterima baik.

“Perdana Menteri juga sudah memberi penjelasan tentang isu berkenaan dalam kenyataannya dan pihak kerajaan menerima baik penjelasan itu.

“Beliau sendiri meminta agar isu ini tidak lagi dipolemikkan dan berlandaskan alasan itu, kita terima dengan cukup berlapang dada,” katanya. – WD MY