PUTRAJAYA, 23 Mac – SAH….. Pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) tidak dapat diproses buat masa ini kerana satu daripada parti komponennya masih belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen seperti diarahkan.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, dalam kenyataan di sini, hari ini berkata pendaftaran PH tidak dapat diproses kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen seperti yang dinyatakan dalam Notis mengikut Seksyen 14(2), Akta Pertubuhan 1966.

Pada 21 Februari lalu, PH mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah supaya ROS menjawab permohonan mereka untuk mendaftarkan gabungan berkenaan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Gobind Singh Deo & Co.

Dalam permohonan itu, PH menamakan Setiausaha Jawatankuasa Penaja, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai pemohon manakala ROS dinamakan sebagai responden.

Mereka memohon untuk mendapatkan kebenaran bagi pengisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan PH sebagai pertubuhan berdaftar adalah bercanggah dengan kewajipan statutori badan itu, sekali gus bercanggah dengan harapan sah mereka (pemohon).

Dengan itu, pemohon juga mahukan pengisytiharan bahawa tindakan ROS tidak mendaftarkan pakatan pembangkang sebagai pertubuhan berdaftar adalah sebagai tidak munasabah dan berniat jahat.

Pada 1 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, ROS bertindak profesional dalam mengendalikan isu pendaftaran PH yang diketuai DAP kerana perkara itu membabitkan siasatan yang sedang dijalankan terhadap kedudukan PPBM.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dipetik sebagai berkata, penyelesaian terhadap permohonan pendaftaran PH tidak boleh mengetepikan isu PPBM begitu sahaja kerana parti itu adalah komponen utama dalam pakatan parti pembangkang berkenaan. – WD MY