PUTRAJAYA 6 Feb. – ADUAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menerima sebanyak 47 aduan yang mempunyai asas untuk siasatan mengenai Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melanggar ketetapan perlembagaan parti itu sendiri.

Ahmad Zahid memberitahu, sehingga kini, ROS menerima sebanyak 249 aduan yang dibuat oleh ahli-ahli PPBM dan jabatan berkenaan bertanggungjawab untuk menyiasat setiap aduan tersebut.

“ROS menjalankan tugas secara profesional dan tidak mempunyai kapasiti dalam mana-mana organisasi politik pun,” katanya kepada media di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, pihak ROS telah pun menghantar surat kepada DAP semalam bagi memaklumkan Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 12 November tahun lepas mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

“Ini untuk mengesahkan perjalanan DAP sebagai parti politik kerana mereka sudah mengikuti peraturan yang ditetapkan perlembagaan parti mereka sendiri,” katanya.

“RoS menjalankan tugas secara profesional dan mereka tiada sebarang kepentingan di dalam mana-mana organisasi politik,” kata beliau.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebagai pemimpin yang pernah mengetuai kerajaan, Dr Mahathir seharusnya mengetahui Akta Pertubuhan 1996 menetapkan tugas RoS adalah untuk menjaga kepentingan anggota mana-mana persatuan atau badan politik mengikut perlembagaan organisasi mereka.

“Kejahilan itu berlaku di pihak mereka sendiri termasuk menghantar perwakilan yang tidak dipilih oleh peringkat bahagian ke mesyuarat agung tahunan dan perwakilan bahagian pun tidak dipilih di peringkat cawangan,” katanya. – WD MY