KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pastikan Bijak Menyaring…… Isteri-isteri pemimpin di negara ini
perlu bijak menyaring serta membezakan maklumat di media sosial sama ada ia
benar, palsu, fitnah atau cerita yang sengaja diadakan.

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata ini kerana media
sosial sering dijadikan senjata utama untuk menyebarkan anasir kotor yang
mengelirukan dan mempengaruhi minda rakyat.

“Sekiranya kita percaya dengan fitnah dan dakyah dicanang di media sosial,
maka ia akan memberi kemenangan kepada mereka yang gembira melihat kita menari
mengikut rentak gendang mereka.

“Dari itu, selaku isteri pemimpin kita perlulah membina ketahanan mental
agar tidak diganggu-gugat dengan tanggapan negatif atau cemuhan dilemparkan
kepada kita dan carilah kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Peningkatan Ilmu dan
Keterampilan Diri Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan
Timbalan Menteri (BAKTI) di Institut Tadbiran Awam Negara di sini, hari ini.

Rosmah yang juga Yang Dipertua BAKTI, berkata dalam usaha menyampaikan
khidmat kepada masyarakat, isteri pemimpin juga disaran untuk tidak mengambil
kira atau terlalu memikirkan komen negatif khususnya daripada pihak pembangkang
yang jelas tidak akan bersetuju dengan usaha murni yang mereka lakukan kepada
masyarakat.

Rosmah juga mengingatkan anggota-anggota BAKTI untuk menjaga keterampilan
diri kerana ia juga mencerminkan imej dan reputasi pemimpin di mata masyarakat.

“Perlu diingat bahawa imej serta keterampilan diri seorang isteri sebenarnya
banyak memberi kesan kepada suami.

“Puan-puan sekalian juga kerap mengiringi suami masing-masing ke lawatan
luar negara dan dalam konteks ini, cabaran bukan sahaja setakat keterampilan
diri tapi yang lebih penting membawa imej dan nama baik negara,” katanya.

Menyentuh aspek komunikasi, beliau berkata kumpulan berkenaan perlu
menguasai cara berkomunikasi yang baik, sekali gus mampu memberi ucapan awam.

Katanya, untuk mahir dalam perkara itu, mereka perlu meningkatkan keyakinan
diri, banyak membaca bahan ilmiah, menguasai bahasa dan menggunakan intonasi
yang betul ketika berucap.

Kursus empat hari bermula sejak Isnin lepas, berperanan sebagai platform
untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada isteri menteri dan timbalan menteri
mengenai hal ehwal jentera pentadbiran kerajaan dan keselamatan negara.

Ia juga bertujuan meningkatkan kredibiliti kumpulan itu sebagai pemimpin
dalam aktiviti wanita, memahami pembaharuan dan perubahan dalam dasar-dasar
kerajaan serta peranan sebagai anggota BAKTI yang lebih berkesan.

Antara topik dikongsikan sepanjang kursus itu termasuk protokol istana,
etiket sosial, tatarias diri, pemilihan pakaian, pengucapan awam, komunikasi
efektif dan tertib di meja makan.

LEAVE A REPLY