KUALA LUMPUR, 11 Julai – BARANG KEMAS…. Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan semua barangan kemas yang dituntut syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan hanya dihantar kepadanya untuk diperlihatkan bagi pertimbangan, namun beliau tidak membuat sebarang pembelian.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan media dikeluarkan peguam Datuk M Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram bagi pihak Rosmah.

“Kami merujuk kepada laporan media mengenai saman sivil yang difailkan Global Royalty Trading Sal terhadap anak guam kami.

“Terdapat dakwaan yang tersebar bahawa barang kemas disenaraikan syarikat itu dibeli dan menggunakan wang yang dicuri. Tuduhan itu tidak benar dan tidak berasas. Kami akan mengambil tindakan diperlukan bagi melindungi kepentingan anak guam,” katanya, semalam.

Berhubung kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang meminta pihaknya mengemukakan permohonan rasmi bagi mendapatkan kembali barangan yang disita, kedua-dua peguam itu membangkitkan beberapa isu.

“Serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilakukan di tiga lokasi dan semuanya dijalankan tanpa kehadiran anak guam kami. Senarai carian tidak ditunjukkan kepada Rosmah sebaik saja semua proses itu selesai.

“Bagi pihak anak guam, kami sudah memohon kepada PDRM, meminta senarai carian itu, namun permintaan kami ditolak. Kami sudah merayu supaya polis mengkaji semula keputusan mereka dan pada masa ini masih menunggu balasan,” katanya.

Kenyataan media itu turut menjelaskan Rosmah mahu melihat barangan yang disita bagi mengenal pasti barangan miliknya kerana ketika serbuan, barang milik anak perempuan dan menantunya turut dirampas.

“Bagi keadilan, Rosmah wajar diberi kebenaran mengenal pasti harta benda dan barangan miliknya.

Pejabat Peguam Negara mengemukakan permohonan menjadi pencelah dalam kes saman syarikat pemborong barang kemas itu terhadap Rosmah yang menuntut 44 barang kemas dipulangkan semula atau membayar ganti rugi RM59.8 juta (AS$14.8 juta).

Mereka mengemukakan permohonan itu atas alasan barang kemas berkenaan adalah milik kerajaan dan dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Pada 26 Jun lalu, Global Royalty Trading Sal selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Rosmah sebagai defendan melalui Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Plaintif adalah pemborong barang kemas terkenal antarabangsa yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja dan pelanggan dari seluruh dunia.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Rosmah didakwa sebagai pelanggan tetap kepada plaintif dan dalam keadaan tertentu defendan ada meminjam beberapa barang kemas serta memulangkan semula.

Pada 10 Februari lalu, melalui serahan tangan, jurujual/ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan 44 barang kemas kepada defendan.

Antara barang kemas termahal adalah sebentuk cincin berlian 16.50 karat berharga AS$925,000 (RM3.7 juta) dan paling murah dalam senarai adalah subang berlian berharga AS$124,000 (RM497,164.96).

Defendan ada mengesahkan dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat bertarikh 22 Mei lalu.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahkan secara bertulis barang itu tidak lagi dalam milikannya kerana sudah disita pihak berkuasa Malaysia.-MY WD