KOTA KINABALU, JUN 9:TAWAR…Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menawarkan diri bertanding jawatan EXCO Wanita UMNO pada pemilihan peringkat pergerakan itu, 23 Jun ini.

Ia menjadikan tiga pemimpin Wanita UMNO Sabah menawarkan diri bertanding jawatan EXCO pergerakan itu setakat ini selepas Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad dan Ketua Wanita UMNO Silam, Mizma Appehdullah.

Melalui entri di laman sosial Facebook, Rosnah yang juga penyandang jawatan EXCO Wanita UMNO, berkata penawaran diri itu dibuat atas dasar perjuangan kepada parti.

“Atas rasa perjuangan kepada parti keramat UMNO, saya dengan rendah diri ingin menawarkan khidmat bagi mempertahankan jawatan EXCO Pergerakan Wanita UMNO bagi pemilihan kali ini,” katanya dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Rosnah yang tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 325 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di kerusi Parlimen Papar, 9 Mei lalu, berkata kekalahan UMNO pada pilihan raya itu menunjukkan ia memerlukan pembaharuan menyeluruh.

“Lembaran PRU-14 lalu adalah sejarah besar buat kita sebagai ahli UMNO, kekalahan ini mengajar kita untuk lebih bermuhasabah dan beristiqamah dalam perjuangan.

“Parti keramat ini memerlukan proses pembaharuan yang besar bagi kita menyemak semula dasar perjuangan selama ini, untuk kita membuat pembaharuan yang menyeluruh bagi menambat hati rakyat.

“Oleh itu, saya memohon kerjasama dan sokongan rakan-rakan seperjuangan untuk kita bersama-sama di dalam perjuangan yang lebih hebat ini demi memastikan proses pemulihan ini dapat dilakukan dengan lebih baik demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Selain menyandang jawatan EXCO Wanita, Rosnah juga menyandang jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti, namun belum menyatakan sama ada akan mempertahankan kedudukannya dalam MT atau sebaliknya.

Sebelum ini, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun mengumumkan bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO, manakala Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria bertanding Jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita.

Ia menjadikan lima pemimpin Wanita UMNO dari Sabah menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan dalam kepemimpinan pergerakan itu di peringkat Pusat, setakat ini.-MY WD