KUALA LUMPUR, 6 Okt – RTC…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bakal menjadi model pembangunan luar bandar dalam kalangan negara ASEAN.

Ahmad Zahid berkata, beberapa negara di rantau ini berminat dengan RTC yang menjadi antara agenda negara membawa transformasi bandar ke luar bandar.

Katanya, ada antara negara di rantau ini sangat perlahan dari aspek pembangunan luar bandar dan berminat dengan pelbagai transformasi dilaksanakan kerajaan.

“RTC misalnya, antara model digunakan negara untuk membawa perubahan ke luar bandar yang boleh mereka contohi.

“Malaysia bukan saja membangunkan luar bandar menerusi konsep ‘membandarkan luar bandar’, malah membawa pemikiran bandar ke luar bandar.

“Bukan mereka tak baik tapi ada perkara perlu ditingkatkan di kawasan itu dari aspek pemikiran kritis dan membuat analisis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri dan Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan tidak berhasrat menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu Rohingya.

“Walaupun kita mengambil berat nasib pelarian Rohingya, tapi kita tak berhasrat menandatangani konvensyen PBB mengenainya,” katanya. – WD MY