JASIN, 4 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu setiap Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negara ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan mengeluarkan peruntukan besar untuk membangunkan pusat itu yang bertujuan memberi pelbagai kemudahan kepada orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan.

“Saya terbabit secara langsung apabila Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan RTC diwujudkan sebagai asas yang diterjemahkan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan 10 (NBOS).

“Menerusi NBOS, kerajaan memulihkan semula projek gajah putih sebelum usaha transformasi dibuat, termasuk idea menghimpunkan semua jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu rakyat.

“Transformasi ini adalah cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya ketika berucap merasmikan pusat itu di sini, hari ini.

RTC kedua di Melaka bernilai RM2.5 juta selepas RTC Kuala Linggi di Alor Gajah itu dibangunkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai.

Menempatkan 33 agensi kerajaan, RTC Sungai Rambai juga menjadi pusat pengumpulan hasil pertanian, perladangan, ternakan serta hasil laut untuk dipasarkan kepada penduduk setempat.-Suraya Ahmad ( WD MY)

LEAVE A REPLY