KUALA TERENGGANU, 19 OGOS – TERBAKAR….. Sebanyak Lima lot kedai di Jalan Sultan Mohamad, Kampung Gong Kapas, musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1.2 juta, malam tadi.

Pada jam 10.30 malam itu, bangunan yang menempatkan tiga lot kedai menjual lampu hiasan dan barangan elektrik, dua lot kedai menjual aksesori dan alat ganti serta bengkel motosikal musnah dijilat api.

Bagaimanapun, ketika kejadian semua pemilik perniagaan serta pekerja masing-masing dikatakan berada di rumah selepas menutup perniagaan sebelum jam 6 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah, berkata pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada jam 10.37 malam.

Katanya, seramai 33 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan BBP Marang bersama empat jentera termasuk dua lori tangki air dikerahkan ke lokasi bagi bantuan pemadaman.

“Difahamkan kebakaran bermula di bahagian belakang premis menjual lampu hiasan dan barangan elektrik.

“Ketika tiba di lokasi kita mendapati sebanyak 70 peratus bangunan kedai berkenaan sudah terbakar dan kebakaran juga menyebabkan beberapa letupan kecil berlaku dipercayai berpunca daripada bahan seperti tin penyembur cat dalam premis terbabit.

“Kita mengambil masa setengah jam bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya jam 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini

Shoki berkata, usaha memadamkan kebakaran turut menghadapi kesukaran berikutan lot kedai yang bersambung antara satu sama lain selain susunan barangan yang padat.

“Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya. – WD MY