MIRI, 22 MEI – SCAM…. Seorang penjawat awam di bandar raya ini hanya mampu berputih mata selepas kerugian RM1 juta akibat diperdayakan seorang wanita yang mendakwa dari Mahkamah Terengganu awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata mangsa yang berusia 52 tahun pada mulanya dihubungi menerusi telefon oleh seorang wanita bernama Syaifa Omar dari Mahkamah Terengganu pada 7 Mei lalu.

“Wanita itu mendakwa akaun mangsa telah disalahguna untuk tujuan jenayah iaitu untuk pembelian dadah dan menggelapkan wang sebuah bank berjumlah RM90,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafa berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki bernama Sufian Sulaiman menyatakan akaun mangsa digunakan untuk menggelap wang dan penyeludupan dadah.

“Mangsa kemudian diminta memindahkan wang dalam akaun mangsa ke akaun lelaki berkenaan untuk mengelak akaunnya dibekukan.

“Mangsa diarahkan untuk menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan dalam talian ke nombor telefon diberikan lelaki itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke akaun lain milik mangsa secara berperingkat mulai 7 Mei hingga 20 Mei melalui 18 transaksi.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan melalui mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dan mendapati baki akaunnya tinggal hanya RM21 sahaja,” katanya.

Beliau meminta orang awam supaya tidak melayan sebarang panggilan telefon yang meragukan dari invididu tertentu yang tidak dikenali dan boleh menghubungi talian JSJK 013-2111222 jika mempunyai maklumat berkaitan dengan Macau Scam.

“Polis atau agensi kerajaan tidak pernah meminta orang untuk memasukkan wang atau bayaran melalui mesin ATM untuk bayaran seperti saman ke akauan peribadi tertentu,” katanya.

Menurutnya, dari 1 Januari hingga 20 Mei 2019, 63 kes Macau Scam dilaporkan di Sarawak membabitkan kerugian RM3.9 juta dan 15 tangkapan.– WD MY