SUBANG JAYA, 4 Jun – BELI…. Ahli perniagaan berputih mata apabila wang RM8.25 juta miliknya lesap selepas ditipu seorang lelaki yang menawarkan pembelian tiga syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Mangsa yang berusia lingkungan 50-an, membuat bayaran kepada suspek yang diperkenalkan oleh rakannya sekitar Julai 2016.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata pada awal perkenalan, suspek menawarkan mangsa untuk membeli saham sebuah syarikat dengan cara skim sewa beli (RTO).

Katanya, mangsa teruja kerana syarikat berkenaan tersenarai di Bursa Malaysia dan membuat dua pembayaran sebanyak RM1 juta dan RM1.5 juta kepada lelaki terbabit.

“Selepas membuat pembayaran berjumlah RM2.5 juta itu, suspek kemudian menawarkan pembelian sebuah lagi syarikat di Bursa Malaysia dengan alasan bagi mengukuhkan kedudukan syarikatnya.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat satu lagi pembayaran sebanyak RM1.95 juta bagi membeli syarikat kedua ditawarkan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohammad Azlin berkata, pada April tahun lalu, suspek memaklumkan bahawa urusan pembelian syarikat kedua gagal, namun tidak memulangkan semula wang berjumlah RM1.95 juta yang dibayar mangsa bagi mendapatkan syarikat itu.

“Dalam masa sama, suspek menawarkan pula pembelian sebuah lagi syarikat dengan harga RM3.8 juta dengan alasan pemiliknya kekurangan modal bagi menggerakkan operasi syarikat terbabit.

“Mangsa dimaklumkan bahawa syarikat ketiga itu mempunyai potensi dalam perniagaan dan kemudian membuat bayaran sebanyak RM3.8 juta kepada suspek,” katanya.

Menurut Mohammad Azlin, selepas menunggu sekian lama, pada Disember lalu, mangsa berjumpa dengan pemilik dua syarikat berkenaan dan terkejut kerana dimaklumkan tiada urusan penjualan syarikat berkenaan.

“Mangsa membuat laporan polis kerana sedar ditipu lelaki terbabit dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya mangsa,” katanya. – WD MY