KUCHING, 14 Feb – TAHAN….. Dua rumah mewah tiga tingkat antara lokasi lawatan delegasi kerajaan negeri diketuai Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, di Poipet, Banteay Mancheay di Kemboja hari ini.

Difahamkan, kedua-dua kediaman itu adalah tempat 47 warga Malaysia, dengan 40 daripadanya berasal dari Sarawak, ‘dikurung’ sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa sejurus mereka tiba secara berperingkat Oktober lalu, selepas dijanjikan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di negara berkenaan.

Malah, setiap rumah berkenaan dilengkapi tingkap tidak telus cahaya yang dipasang berjeriji besi, dengan sekeliling sempadannya dibina tembok pagar tinggi.

Kedua-dua kediaman itu turut memiliki ruangan rahsia bawah tanah yang dipercayai menjadi pusat operasi kegiatan perjudian dalam talian didalangi sindiket antarabangsa.

“Di ruangan rahsia itulah ditemui pelbagai peralatan komputer, termasuk tablet yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian dalam serbuan pada 11 Disember lalu.

“Dalam serbuan itu jugalah, pihak berkuasa menemui 55 individu warga asing, dengan 47 daripadanya warga Malaysia, sebelum ditahan di Penjara Wilayah Banteay Mancheay untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, hasil pemantauan turut mendapati kawasan kejiranan berkenaan tidak mengetahui sebarang kegiatan di rumah berkenaan kerana penghuninya tidak keluar rumah.

Selain Fatimah, turut serta dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh.

“Ia bagi membantu proses siasatan dan merangka pelan tindakan bersesuaian, termasuk dalam konteks perundangan,” katanya.

Kemudian, anggota delegasi yang diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Ruzaimi Mohamad mengadakan pertemuan bersama kumpulan tahanan terbabit di Penjara Wilayah Banteay Mancheay.

Sumber berkata, anggota delegasi mengadakan pertemuan kira-kira sejam bersama kumpulan tahanan terbabit untuk meninjau keadaan mereka.

“Delegasi Sarawak turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Muslim Kemboja, Othsman Hassan, selain menemui wakil Kementerian Hal Ehwal Luar, Kerjasama Antarabangsa Kemboja dan pegawai kedutaan Malaysia di Kemboja,” katanya

Sementara itu, Fatimah berkata berdasarkan perkembangan semasa, kes berkenaan masih dalam siasatan polis tempatan, termasuk usaha mengesan dalang sindiket yang memperdayakan mereka.

“Kerajaan Sarawak bersedia membantu tahanan, termasuk menanggung kos perundangan mengikut undang-undang tempatan. Kita juga sentiasa memberi maklum balas mengenai keadaan semasa tahanan dan menyediakan kaunselor sebagai sokongan psikologi,” katanya. – WD MY