KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kerajaan disaran mewajibkan pembinaan
Anjung Kasih iaitu rumah penginapan sementara bagi anggota keluarga pesakit,
sebagai antara kemudahan utama di setiap hospital kerajaan di seluruh negara.

Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil, ia penting bagi memudahkan anggota keluarga
pesakit menjaga serta melawat pesakit yang dimasukkan ke hospital tanpa perlu
menyewa hotel atau menumpang di tempat lain.

“Saya nak minta daripada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan agar
menambah baik perancangan sedia ada dengan menambah kemudahan seperti ini
apabila mewujudkan mana-mana hospital khususnya di bawah RMK11 (Rancangan
Malaysia Ke-11),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan
kepada 100 kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) yang bakal bertugas di musim
perayaan Aidilfitri di sini, hari ini.

Program Selami Kasih YKN hari ini menyumbangkan kepada 500 kakitangan di lima buah
hospital iaitu Hospital Selayang, HKL, IJN, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) dan
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Shahrizat berkata kemudahan Anjung Kasih juga mampu meningkatkan mutu
perkhidmatan dalam bidang kesihatan terutamanya kepada golongan yang kurang
berkemampuan.

“Misalnya di HKL (Hospital Kuala Lumpur), difahamkan ramai pesakit di sana
terdiri daripada keluarga yang tidak berkemampuan, jadi dengan adanya Anjung
Kasih ia memudahkan mereka terutamanya yang datang jauh dari negeri lain,”
katanya.

Menurutnya Anjung Kasih di bawah YKN, kini terdapat di lapan buah hospital
terpilih di seluruh negara iaitu di Hospital Selayang, Selangor; Hospital Tuanku
Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan;
Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh di Pahang; Hospital Miri, Hospital
Sibu, Hospital Umum di Sarawak dan terbaharu Hospital Raja Permaisuri Bainun,
Ipoh, Perak.

“Anjung Kasih memberikan penginapan secara percuma kepada anggota keluarga
dengan berkonsepkan selesa, selamat dan berkualiti dan sehingga Mac 2015
sebanyak 14,622 orang telah menikmati kemudahan ini,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY