PETRA JAYA, 2 Julai – Meriahkan….Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengadakan kunjungan mesra sempena Aidilfitri terhadap Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, di sini, malam ini.
Beliau tiba di kediaman Abang Johari yang dikenali sebagai Sri Minangkabau, di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob, di sini, pada jam 8.30 malam.
Turut hadir menteri Kabinet antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim serta Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat.
Hadir sama dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta barisan Kabinet negeri.
Beliau meluangkan masa selama 45 minit di kediaman Abang Johari sebelum beredar untuk menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman di Laruh Skim yang meninggal petang tadi.
 Ahmad Zahid pada esoknya dijangka akan mengadakan kunjungan mesra terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri.
Selain itu, beliau dijadual mengunjungi rumah tiga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.- WD MY