PEKAN, 30 Jula i- Meriah…Rakyat pelbagai kaum memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, bermula jam 10.30 pagi tadi.

Lebih 70,000 orang hadir menikmati pelbagai juadah yang disediakan di 165 gerai pada majlis yang berakhir kira-kira jam 2.30 petang itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu serta melawat gerai makanan dan minuman.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, turut menyampaikan sumbangan kepada 100 bakal haji dalam Parlimen Pekan.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaacob; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Abu Bakar Harun dan EXCO kerajaan negeri.

Tetamu disajikan dengan juadah istimewa seperti nasi Arab, kambing bakar, mi kari, laksa Pahang, puding raja dan sate selain juadah wajib hari raya seperti lemang, ketupat dan rendang.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Alyah, Ameng Spring, Bell Ngasri, Azlan Typewriter, manakala Sharifah Shahira dan Karl Shafik bertindak sebagai pengacara. – WD MY

LEAVE A REPLY