KUALA LUMPUR, 12 Julai – Terbuka…… 50,000 ahli parti dan rakyat pelbagai peringkat dijangka menghadiri dan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 yang akan berlangsung di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Ahad ini.

Pegawai Perhubungan Media UMNO, Mohd Nasri Zakariah, berkata majlis dijadualkan berlangsung bermula jam 11 pagi hingga 3 petang dan diserikan dengan kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, selain itu barisan kepemimpinan tertinggi parti termasuk Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka hadir sama.

Katanya, tidak terkecuali adalah ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Putera dan Puteri serta badan perhubungan negeri dari seluruh negara untuk memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

“Pada sambutan kali ini, setiap negeri akan memperkenalkan juadah tradisional dan makanan sinonim dengan negeri masing-masing misalnya, apam Johol di Negeri Sembilan, nasi dagang (Terengganu) dan mi bandung (Johor).

“Pengerusi badan perhubungan negeri akan berada di gerai negeri masing-masing untuk memperkenalkan makanan tradisi mereka selain, beramah mesra melayan tetamu yang hadir,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nasri berkata dianggarkan setiap negeri akan menyediakan sekurang-kurangnya 3,000 biji setiap jenis kuih yang akan dihidangkan kepada orang ramai. – WD MY