KUALA LUMPUR, FEB 26 – RUMAH… Pangsapuri Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kampung Sungai Udang, Segambut akan menjadi rumah transit pertama di ibu negara apabila pembinaannya siap pada tahun hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pangsapuri dengan 1,200 unit berkenaan dibina khusus bagi golongan belia dan pasangan muda baharu berkahwin secara sementara sebelum memiliki kediaman sendiri.

“Rumah transit dengan kos pembinaan sebanyak RM300 juta melibatkan kawasan seluas 5.51 ekar kini 30 peratus dalam proses pembinaan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti dewan, surau, parkir dan gelanggang futsal.

“Penyewa perlu membayar kadar sewa RM800 selama lima tahun kepada DBKL yang RM300 daripada jumlah itu kita akan simpan untuk mereka dan akan dipulangkan semula sebagai deposit apabila mereka sudah mampu beli kediaman sendiri melalui Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) kelak.

“Walaupun konsep rumah transit ini bersifat penyelesaian jangka pendek, namun diharapkan dapat meringankan beban golongan belia untuk membina kehidupan secara berperingkat hasil pengurangan kos sara hidup mereka,” katanya ketika merasmikan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Segambut.

Beliau juga memberitahu proses saringan akan dilaksanakan bagi memastikan hanya yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja yang diberikan keutamaan.

“Dalam masa yang sama, dua lagi rumah transit dengan konsep yang sama juga akan dibangunkan di Kampung Kerinchi dan Bandar Tun Razak,” katanya. – MY WD