KUALA LUMPUR, 1 Ogos – ASEAN dan China bersetuju untuk mara ke
peringkat seterusnya dalam rundingan ke arah penubuhan Kod Tatalaku (CoC) bagi
pertikaian perairan Laut China Selatan.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, ASEAN dan para pegawai kanan China
yang mengadakan mesyuarat baru-baru ini juga bersetuju untuk berunding tentang
kerangka, struktur, elemen di samping menangani isu sukar dan rumit berkaitan
CoC.

“Ini merupakan perkembangan penting dalam hubungan CoC,” katanya pada taklimat
media Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48 di Pusat Dagangan Dunia
Putra hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu turut mempertimbangkan beberapa cadangan bagi
menangani ketegangan yang memuncak dalam kalangan negara pihak menuntut, dan
keperluan untuk menguatkuasakan perenggan yang berkaitan dalam Deklarasi
berkaitan Kod Pihak-pihak di Laut China Selatan (DoC).

Anifah berkata: “Sambil kita meneruskan pelaksanaan DoC dan berusaha dengan
pantas ke arah penubuhan CoC, perkembangan terkini telah meningkatkan ketegangan
dan menghakis kepercayaan serta keyakinan dalam kalangan pihak terbabit.” – Suraya Ahmad,
Faizal Dato Badarudin, Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY