NEW YORK, 23 Sept – BUKTI…. Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata pegawai Amerika Syarikat (AS) gagal membuktikan campur tangan Moscow dalam pilihan raya Presiden AS.

Sebaliknya, beliau berkata, tuduhan berkenaan diada-adakan pentadbiran bekas Presiden Barack Obama untuk menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

“Mereka meletakkan bom masa ini dalam hubungan AS-Russia. Saya tidak menjangkakan perkara itu daripada pemenang ‘Hadiah Nobel Keamanan’,” kata Lavrov kepada media di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lavrov berkata, beliau meminta Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, memberi bukti Kremlin campur tangan untuk menyokong kempen Donald Trump.

Tillerson menjawab, bukti adalah sebahagian siasatan sulit, kata Lavrov, mengejek kenyataan itu dan menegaskan jika ada bukti, ia sudah bocor.

“Kini ada potensi hubungan dua hala ini sia-sia dan terjejas kerana histeria Russiafobia,” katanya.

Pegawai AS berkata, pertemuan dua hala Tillerson dan Lavrov memberi tumpuan kepada memperbaiki kerjasama antara tentera kedua-dua negara di Syria untuk mengelakkan pertembungan. – WD MY