KUALA LUMPUR, 6 Mei – Tamat…..Datuk Rusli Ahmad secara rasmi menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, hari ini.

Persaraan Rusli, 60, yang berkhidmat sebagai pengarah di jabatan itu sejak tahun lalu diraikan dalam satu Majlis Paluan Berundur yang diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini petang tadi.

Majlis turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan lain.

Rusli yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Ketua Polis Johor bermula Mac 2015, menyertai PDRM sejak 12 Disember 1978 sebagai inspektor percubaan sebelum ditugaskan di beberapa jabatan.

Sepanjang 39 tahun berkhidmat dalam PDRM, Rusli pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Timbalan Pengarah JPJKK Bukit Aman, Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Bukit Aman serta pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Undang-undang dari Universiti Malaya juga mempunyai pengalaman sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah ketika bertugas di Tawau, Sabah, pegawai penyiasat trafik ketika bertugas di Kota Kinabalu, Sabah serta Unit Disiplin Bukit Aman sepanjang tempoh perkhidmatan dari 1978 sehingga 1992. – WD MY