BERLIN, 22 Feb – GESAAN…. Kerajaan Jerman menggesa Russia dan Iran memberi tekanan kepada rejim Syria supaya segera menamatkan serangan udara dahsyat ke atas Eastern Ghouta yang dikawal pemberontak.

Jurucakap Canselor Jerman Angela Merkel, Steffen Seibert berkata, seseorang perlu bertanya di mana Russia dan Iran yang berikrar di Astana (Kazakhstan) untuk menjamin gencatan senjata di Eastern Ghouta.

“Tanpa sokongan kedua-dua sekutu ini, rejim Assad tidak akan berada pada hari ini dan tanpa sokongan ini, rejim perlu menunjukkan kesediaan lebih untuk berunding dalam proses damai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kami menuntut rejim Asssad segera menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Ghouta dan membenarkan bantuan kemanusiaan serta pemindahan perubatan.

“Kami juga menuntut penyokong rejim Assad menggunakan pengaruh kuat mereka untuk mencapai penamat ini,” kata Seibert merujuk rundingan damai di ibu kota Kazakhstan.

Rejim Presiden Bashar al-Assad meningkatkan serangan udaranya bulan ini di wilayah terkepung dikawal pemberontak di timur Damsyik, di mana hampir 300 orang awam terbunuh sejak Ahad lalu.

Jet pejuang terus membedil bandar di Timur Ghouta hari ini, membunuh 24 orang awam, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR). – WD MY