MOSCOW, 26 Feb – SASARAN….. Stesen televisyen Russia menyenaraikan kemudahan tentera Amerika Syarikat yang akan menjadi sasaran Kremlin jika berlaku perang nuklear, dan berkata peluru berpandu hipersonik yang dibangunkan negara itu boleh memusnahkan ia dalam masa kurang lima minit.

Sasaran termasuk Pentagon dan kawasan rehat presiden di Camp David, Maryland.

Laporan itu disiarkan petang semalam, beberapa hari selepas Presiden Vladimir Putin, berkata Moscow bersedia untuk berhadapan krisis ala ‘Peluru Berpandu Cuba’ jika AS mahu ia berlaku.

Pada siaran petang semalam, penyampai utama siri berita Vesti Nedeli, Dmitry Kiselyov, menunjukkan peta AS dan mengenal pasti beberapa sasaran yang dikatakan mahu diserang Moscow jika berlaku perang nuklear.

Sasaran berkenaan, yang digambarkan Kiselyov sebagai pusat presiden atau pemerintah tentera, juga termasuk pusat latihan tentera di Maryland yang ditutup pada 1998, Fort Ritchie; pangkalan Tentera Udara AS di California, McClellan, yang ditutup pada 2001 dan pangkalan komunikasi tentera laut di Washington, Jim Creek.

Dengan ketegangan memuncak berhubung kebimbangan Russia bahawa AS mungkin menempatkan peluru berpandu nuklear jarak sederhana di Eropah, Putin berkata Kremlin terpaksa bertindak balas dengan menempatkan peluru berpandu nuklear hipersonik dalam kapal selam berhampiran perairan AS.

AS berkata, ia tidak merancang menempatkan peluru berpandu seumpama itu di Eropah dan menyangkal amaran Putin, menyifatkan ia cuma propaganda. — WD MY