S.M Salim Masih Tenat

0
153

HULU KLANG, 29 Dis – Tenat…… Penyanyi legenda lagu Melayu asli, Tan Sri SM Salim, 88, masih tenat biarpun ada ketika dilihat membukakan mata sebelum kembali tidak sedarkan diri.

Sejak malam tadi, penyanyi yang popular dengan lagu Apa Dah Jadi dan Pantun Budi itu mula dilawati sanak-saudara dan teman artis di kediaman anaknya di Ukay Perdana, di sini.

Setakat ini, SM Salim dilaporkan masih bernafas secara normal dengan keadaan dirinya yang terlalu uzur.

Anak keenam daripada tujuh beradik, Shamsul Salim berkata, bapanya dilihat membukakan mata kira-kira jam 8 malam tadi sebelum kembali lelap.

Ramai saudara-mara termasuk rakan artis menziarahi dan membacakan surah Yassin selepas mendapat perkhabaran artis veteran itu tenat, sejak kelmarin.

Antara teman artis yang menziarahi SM Salim sehingga jam 1 pagi tadi adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Acis, Datuk A Rahman Hassan, Datuk Ramli MS dan Fauziah Nawi.

Ketika ditemui media, Ramli MS berkata, beliau mengenali SM Salim ketika sama-sama berkongsi pentas lebih 20 tahun lalu dalam Konsert Ikhlas di Dewan Filharmonik Petronas.

“Masa saya ziarah, saya lihat keadaan kakinya masih lagi panas dan seolah-olah mendengar apa yang kita cakap. Saya kenal dia sebelum konsert itu lagi, tetapi, kami betul-betul rapat ketika konsert itu. Orang lama ini disiplin sangat bagus dan pantang disentuh.

“Mengenali SM Salim, dia seorang yang sangat kelakar dan komited. Dia boleh menjadi siapa saja. Kalau berperwatakan sebagai bapa, dia akan tunjukkan dirinya sebagai bapa dengan nasihat dan teguran.

“Walaupun kami sudah lama tak berjumpa, tetapi, masih berhubung. Dia pernah cakap pada saya nak menyanyi lagi dan nak buat rakaman,” katanya yang menyifatkan SM Salim sebagai bapa yang sangat prihatin serta suka memberikan nasihat. – WD MY