KOTA KINABALU, 17 MEI – LANTIK…. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan negeri akan umum pelantikan bagi mengisi kekosongan jawatan Kabinet negeri dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun berkata tiada rombakan dilakukan terhadap barisan Kabinet sedia ada, hanya pelantikan bagi mengisi kekosongan jawatan dalam Kabinet sekarang.

“Saya akan buat pengumuman dan saya akan lihat esok jika dapat saya akan buat pengumuman yang perlu untuk itu,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk dan melawat bazar Ramadan Lintasan Deasoka.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman. Sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai pada majlis itu.

Sebelum ini, jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri yang dipegang DAP kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Kelmarin, Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, berkata Ketua Menteri dijangka mengumumkan pemimpin DAP yang bakal mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Dalam isu lain, Mohd Shafie berkata kerajaan tidak pernah melaksanakan peraturan menghalang mana-mana pihak untuk membuat liputan majlis atau sidang media diadakan kerajaan negeri atau wakil rakyatnya.

“Buat apa kita halang, kita nak lindung pasal apa. Tiada dasar kerajaan begitu, kalau kita buat pengumuman, semua boleh datang,” katanya.

Mengenai isu penemuan banyak penyu mati di Semporna, beliau berkata kerajaan negeri akan menyiasat kebenaran dakwaan bahawa penyu di perairan daerah itu semakin merosot.

“Saya akan siasat kebenaran fakta itu tapi saya yakin di Semporna banyak penyu kerana banyak terumbu karang tempat pembiakannya,” katanya.

Sebelum ini, ada pihak mendakwa kaedah digunakan pengkaji hidupan marin itu yang dianggap tidak sesuai mungkin antara punca kematiannya.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Hidupan Liar Sabah, 18 penyu hijau dikesan mati di perairan Pulau Mabul, Semporna sejak tahun lalu. – WD MY