KUALA LUMPUR, OKTOBER 22: GRAB…Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa janji palsu PH sebelum PRU14 menjadi punca tindakan biadab segelintir pemandu teksi di Langkawi terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, seperti yang beliau  nyatakan minggu lalu, janji palsu tersebar di kalangan pemandu-pemandu teksi sebelum PRU14 bahawa PH akan haramkan Uber dan Grab apabila mereka berkuasa adalah antara punca utama pemandu-pemandu teksi menolak dan memburukkan kerajaan BN yang pernah banyak menolong mereka.

“Selain janji palsu, turut tersebar kononnya isteri saya adalah pemilik Grab menambah kebencian mereka.

“Kebenaran akhirnya muncul pagi semalam,” kata Najib  dalam muat naik Facebooknya, semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian mengulas berhubung perjumpaan  Dr Mahathir Mohamad bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi yang bertukar kecoh apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Pagi tadi, kira-kira 10 orang pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.-MY WD