PUTRAJAYA, 16 Feb – Sahkan…. Warga¬†Korea Utara yang mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Isnin lalu, disahkan sebagai Kim Jong-nam, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mangsa turut menggunakan identiti Kim Chol.

Beliau berkata, pengesahan identiti itu dibuat berdasarkan maklumat yang diberikan pihak kedutaan Korea Utara di sini.

Ahmad Zahid juga berkata pihak kedutaan telah mengemukan permohonan untuk mendapatkan mayat berkenaan.

“Kemungkinan besar, waris sudah pun mengemukakan permohonan menuntut mayat menerusi kedutaan Korea Utara.

“Di pihak kerajaan, kita akan memenuhi permintaan bantuan sebarang kerajaan asing dan ada prosedur perlu diikuti, tapi dasar kita ialah kita mesti memenuhi perjanjian dua hala yang dimeterai dengan mana-mana negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa keselamatan di lapangan terbang sentiasa berada pada tahap tertinggi dengan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dan sistem keselamatan canggih.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak polis kini sedang memantau beberapa CCTV, malah pagi tadi dua tangkapan dibuat dan beliau yakin akan ada maklumat tambahan yang diperoleh.

“Ini adalah insiden terpencil, di bawah Akta Imigresen, kita membenarkan sesiapa sahaja memasuki Malaysia secara sah, lebih-lebih lagi kalau memiliki dokumen yang sah.

“Kenapa beliau (Jong-Nam) berada di sini dan kenapa mahu menaiki penerbangan ke Macau, itu adalah persoalan bagi bahagian operasi (polis dan Imigresen),” katanya

Ahmad Zahid juga berpendapat harus ada hanya satu jurucakap berhubung penyiasatan terbabit.

Beliau menegaskan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang masalah undang-undang terutama daripada segi keselamatan kerana mahu melindungi sesiapa sahaja yang berkunjung atau berada di negara ini. – WD MY