PETALING JAYA, 16 Sept – Mayat ditemukan dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya
dekat sini awal pagi ini disahkan ialah Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di
Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais yang dilaporkan hilang sejak 4 Sept
lepas, menurut polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) Datuk Seri Mohmad Salleh
berkata pihaknya bagaimanapun masih perlu mendapatkan pengesahan selanjutnya
daripada anggota keluarga Morais.

“Bedah siasat ke atas mayat akan dilaksanakan kira-kira pukul 2 petang di
Hospital Kuala Lumpur,” katanya pada sidang berita di lokasi penemuan mayat
berkenaan, hari ini.

Beliau berkata penemuan mayat itu adalah susulan siasatan yang dijalankan
pihak polis terhadap tujuh suspek warga tempatan, termasuk seorang wanita dan
seorang kanak-kanak, yang ditahan sejak semalam.

Seorang daripada suspek telah membawa pihak polis ke lokasi tong itu pagi
ini di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah berhampiran Sungai Klang,
katanya.

“Apabila ditunjuk suspek, kita dapatkan bantuan Jabatan Bomba dan patalogist
untuk tarik tong pada pukul 8 pagi. Lepas tong drum dipecahkan jumpa satu mayat
yang kita percaya adalah mendiang yang hilang,” katanya.

Mohmad berkata pasukan penyelam polis terpaksa diarahkan bagi mencari tong
terbabit yang tenggelam ke dasar sebuah paya, dan kren digunakan untuk
menarik tong itu keluar.

“Operasi bermula pukul 6 pagi tadi dan tamat kira-kira 10.30 pagi,”
katanya.

Ditanya sama ada mayat dijumpai dalam keadaan sempurna, Mohmad berkata ia
belum dapat disahkan kerana “mayat masih dalam guni (dan) kita tak tengok sama
ada dipotong atau tidak.

“Biarlah kita beritahu kemudian selepas bedah siasat,” katanya.

Mengulas mengenai suspek yang ditahan, Mohmad berkata polis percaya
hanya lima suspek lelaki berusia 22 sehingga 52 tahun terlibat, manakala suspek
perempuan dan kanak-kanak tidak mempunyai kaitan.

Mohmad berkata siasatan polis terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
di Jalan Duta telah memberikan mereka panduan untuk mendalami siasatan kes,
“dan selepas 13 hari siasatan dijalankan, pada 15 Sept (semalam) kita buat
tangkapan ke atas tujuh orang ini.”

Beliau berkata polis percaya kes pembunuhan itu bermotifkan dendam dan
berkait rapat dengan satu kes perbicaraan yang dikendalikan Morais melibatkan
kes rasuah seorang doktor yang berkhidmat di sebuah hospital tentera.

Katanya doktor berumur 52 tahun itu telah ditahan di Rawang semalam dan
merupakan antara tujuh suspek yang telah ditahan reman mulai hari ini.

Mohmad berkata polis sedang menjejaki suspek lain.

Beliau berkata polis turut merampas tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda
Mitsubishi Triton yang dipercayai digunakan untuk melanggar kereta Morais di
Jalan Duta pada 4 Sept lepas, serta Honda Accord dan Proton Persona di Lembah
Klang dan Pulau Pinang.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY