MAKKAH, 28 Sept – Seorang jemaah haji Malaysia disahkan terkorban
dalam insiden rempuhan di Mina pada 10 Zulhijjah (24 Sept) lepas setelah
dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.

Jemaah haji berkenaan ialah Zulkifly Samad, 50, yang beralamat di Taman Ukay
Bistari, Ampang, Selangor. Allahyarham berasal dari Johor.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Tabung Haji (TH) dalam makluman awalnya mengesahkan tiada jemaah haji
Malaysia yang telibat dalam rempuhan itu berdasarkan pengesahan daripada waris
dan maklumat awal penempatan jemaah haji.

“Pihak Tabung Haji telah membuat semakan dan pengumuman melalui siar raya di
khemah jemaah pada 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) sehingga 3 petang
pada hari kejadian.

“Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan
sebarang kehilangan jemaah (Malaysia) pada hari kejadian,” katanya dalam
kenyataannya.

Asyraf Wajdi berkata pada kira-kira 11 malam (waktu Arab Saudi) hari
kejadian itu, isteri Zulkifly, Suriahanim Abd Hamid, telah membuat laporan
kepada TH bahawa suaminya tidak pulang ke khemahnya.

Dalam laporan itu, Suriahanim mengakui bahawa suaminya tidak bersama-sama
dengan jemaah Malaysia TH dari Muzdalifah kerana mahu berjalan kaki ke Mina
sebagai mengikut Sunnah Rasullulah.

Menurut Suriahanim panggilan telefon terakhir yang dibuatnya kepada Zulkifly
ialah pada 7.15 pagi, 10 Zulhijjah dan suaminya memaklumkan bahawa beliau
selamat tiba di Mina dengan jemaah negara-negara lain dari Muzdalifah.

Asyraf Wajdi berkata selepas menerima aduan Suriahanim, para petugas TH
memulakan usaha mencari Zulkifly di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital
berdekatan di Mina.

“Pada 1.30 tengah hari tadi, pasukan perubatan TH melakukan tinjauan di
rumah mayat Muaissem di mana mereka telah menemukan satu jenazah sempurna rakyat
Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu,” katanya.

“Pihak Tabung Haji mengesahkan bahawa jenazah itu ialah Zulkifly
Samad,” katanya.

Seramai 717 jemaah haji terkorban setakat ini dalam kejadian
rempuhan itu yang berlaku di kawasan perkhemahan jemaah negara-negara Arab, yang
terletak kira-kira empat kilometer daripada perkhemahan jemaah Malaysia. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY