KUALA LUMPUR, OKTOBER 8: TENDER…Saham kontraktor MRT2 – Gamuda Bhd dan MMC Corp Bhd adalah antara syarikat yang mencatatkan kerugian pada pada dagangan awal pagi di Bursa Malaysia berikutan keputusan kerajaan untuk melaksanakan tender semula kerja projek berkenaan.

Pada jam 10.30 pagi, Gamuda didagangkan pada RM2.54, jatuh 20.87 peratus, manakala MMC Corp didagangkan pada RM1.19, susut 11.85 peratus.

Ahad lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerja bawah tanah projek MRT2 itu terpaksa dibatalkan susulan usaha sama MMC-Gamuda sebagai kontraktor utama untuk kerja-kerja terowong MRT2 tidak bersetuju dengan kehendak kerajaan supaya kos dikurangkan.

Memandangkan perkembangan itu, proses tender terbuka antarabangsa diadakan semula.

“Kami menjangkakan sumbangan yang lebih besar daripada segmen kejuruteraan pada tahun kewangan 2018-2019, dengan keuntungan separuh pertama 2018 sebelum cukai kejuruteraan melonjak 79 peratus tahun ke tahun kepada RM152 juta, terutama didorong oleh sumbangan MRT,” katanya dalam nota hari ini.

Setakat ini, kumpulan itu telah menyiapkan 24 peratus kerja bahagian atas dan 33 peratus bahagian terowong, dan pembatalan ini akan memberi kesan daripada baki sumbangan yang masih ada dalam projek ini, yang menurut anggaran Kenanga Research keuntungan sebelum cukai tahunan sebanyak RM70 juta hingga RM100 juta .

Bernama juga memetik Maybank Kim Eng Research sebagai berkata, perkembangan itu akan menyebabkan keseluruhan penyiapan projek MRT2 tertangguh sekurang-kurangnya setengah tahun daripada anggaran asal iaitu menjelang pertengahan 2022.

“Kami percaya keputusan MMC-Gamuda untuk meninggalkan kerja pakej bawah tanah disebabkan kehendak kerajaan supaya terlalu banyak kos dikurangkan, sehingga boleh menimbulkan tanggungjawab risiko.

“Kami tidak pasti jika Gamuda akan mengambil bahagian dalam tender antarabangsa untuk menyiapkan baki pakej bawah tanah ini,” katanya.

Projek MRT2 diluluskan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2014.

Ketika itu, jumlah kos yang dianggarkan ialah RM28 bilion, tetapi jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM56.93 bilion.-MY WD