PUTRAJAYA, 23 APRIL – PERTEMUAN… Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengadakan pertemuan dua hala secara berasingan dengan tiga kepemimpinan tertinggi China ketika menghadiri forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Beijing, Khamis ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata layanan istimewa diberikan kepada Perdana Menteri oleh kepemimpinan republik berkenaan adalah petanda baik mengenai fasa baharu hubungan Beijing-Kuala Lumpur.

“Kita sudah selesaikan isu penting antara Beijing-Kuala Lumpur iaitu berkaitan Bandar Malaysia dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sekali gus mencetuskan arus perubahan positif hubungan kedua-dua negara, selain maklum balas dalam kalangan orang ramai menunjukkan suasana sektor perniagaan, khususnya membabitkan pelabur China, kini tampak lebih baik.

“Oleh itu, apabila tiga kepemimpinan tertinggi China meluangkan masa untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Dr Mahathir, di tengah kesibukan Beijing selaku tuan rumah menguruskan perjalanan forum BRI, sudah pastinya suatu petanda baik.

“Bayangkan, dalam kalangan lebih 40 pemimpin dunia yang menghadiri forum BRI, tiga kepemimpinan tertinggi China berhasrat untuk bertemu dengan Dr Mahathir,” katanya pada sidang media di Wisma Putra.

‘Trio’ pemimpin republik berkenaan yang dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Dr Mahathir ialah Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri China, Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Li Zhanshu.

Saifuddin menjelaskan, proses timbal balik susulan persetujuan Malaysia melakukan rundingan semula ECRL mencakupi beberapa kepentingan seperti penambahan kadar pembelian kelapa sawit oleh China, selain kesepakatan untuk meningkatkan kapasiti penggunaan tenaga mahir dan bahan dari Malaysia untuk projek rel dengan jajaran sepanjang 648 kilometer (km) itu.

“Ia situasi menang-menang kerana kita tahu ECRL adalah projek penting kepada China, manakala persoalan utama ditekankan Malaysia pula berkisar kepada keperluan mengurangkan kos projek. Justeru, hakikat bahawa kita mampu melakukan penjimatan RM21.5 bilion ialah satu kejayaan.

“Pada pengetahuan saya, penambahan kadar pembelian kelapa sawit, pengurangan kos projek dan peningkatan guna tenaga mahir adalah antara manfaat yang diperoleh daripada rundingan semula ECRL, diterajui (bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan), Tun Daim Zainuddin,” katanya menjawab persoalan sama ada kelulusan meneruskan projek rel mega itu mempunyai butiran ‘perjanjian’ tersembunyi. – WD MY