PORT DICKSON, SEPTEMBER 29:BERTANDING… Bekas pembantu peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim disebut-sebut akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Saiful Bukhari Azlan, 33, dikatakan akan mengemukakan borang sebagai calon Bebas Pusat Penamaan Calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, pagi esok.

Sumber berkata, Saiful Bukhari mahu menjadikan PRK Port Dickson sebagai platform pertama menyertai politik.

“Beliau mahu berdepan dengan Anwar untuk memperjuangkan kebenaran, selain membantu rakyat setempat,” katanya ketika dihubungi.

Tujuh nama lain adalah Anwar, Lau Seck Yan (Bebas), Stevie Chan Keng Leong (Bebas), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas), Kan Chee Yuen (Bebas), R Ammasi (Bebas) dan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS).

Hasrat Saiful Bukhari itu dikuatkan dengan ucapan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan PRK Port Dickson.

“Ini saya dengar Saiful Bukhari pun mahu bertanding,” katanya sambil tidak mengulas butiran lanjut.

Sebelum ini, BH melaporkan Anwar bakal berdepan saingan sengit dalam pertandingan lima penjuru esok.

Terbaru, bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor, dilapor menawarkan diri untuk bertanding mencabar Anwar yang juga bekas mentornya, namun belum membuat pengumuman rasmi.

Semalam, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, menawarkan diri untuk memberi saingan selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan memboikot pilihan raya itu.

PAS semalam mengumumkan Mohd Nazari yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, sebagai calon parti itu dalam PRK Port Dickson.

Sebelum itu, seorang personaliti media sosial, Stevie Chan antara yang terawal mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK itu, diikuti seorang lagi calon Bebas, bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S Kumar, yang kemudiannya menarik diri.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mencalonkan Ahmad Kamarudin yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kapar.

Kerusi Port Dickson kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam usahanya menjadi perdana menteri kelapan.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Danyal menang dengan majoriti 17,710 menewaskan calon BN, Datuk VS Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU-14.-MY WD

Tiga PRK yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, semuanya di Selangor