KUALA LUMPUR, 24 Nov – PEMBUNUHAN….. Saksi pendakwaan ke-37 dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan memberikan keterangan palsu kepada mahkamah, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes S Yogeswary, 37, di akhir kes pembelaan.

Namirah Hanum yang memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum (hari ini) turut mengarahkan Yogeswary membayar kos pendakwaan berjumlah RM1,500.

Beliau turut membenarkan permohonan peguamnya, J Jayarubbiny untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai dan mengarahkan supaya notis rayuan difailkan pada atau sebelum 30 November ini.

Mahkamah melepaskan tertuduh menerusi jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin.

Yogeswary sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu di mahkamah ketika menjadi saksi di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini, pada jam 11 pagi, 27 September 2016.

Keterangan palsu yang diberikan atau direka itu membabitkan penjagaan dan kawalan kereta Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar belakang kereta mangsa pada hari kehilangannya, dan tempoh dia mengenali seorang lelaki bernama Selvam yang pernah meminjamkannya wang sebanyak RM4,000.

Dia dituduh mengikut Seksyen 193, Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Terdahulu dalam rayuan menerusi peguam Jayarubbiny, tertuduh memohon supaya mahkamah tidak memenjarakan dia atas atas alasan ia adalah kesalahan pertama.

“Selain itu anak guam saya adalah ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun yang masih memerlukan kasih sayang seorang ibu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan dalam hujahnya bagaimanapun, memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

“Keterangan palsu itu juga secara langsung menyukarkan dan menghalang pihak pendakwaan untuk menggunakan keterangan sedia ada untuk menyokong kes berprofil tinggi itu.

“Tindakan tertuduh dengan memberi keterangan palsu seolah-olah cuba melindungi tertuduh dalam kes pembunuhan itu,” katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil sepanjang prosiding perbicaraan.

Yogeswary menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh Kevin Morais yang mana tujuh lelaki, G Gunasekaran, 48; R Dinishwaran, 24; A K Thinesh Kumar, 23; M Vishwanath, 26; Nimalan, 23; dan S Ravi Chandaran, 45 dan R Kunaseegaran, 53, yang juga pakar patologi tentera didakwa melakukan perbuatan itu. – WD MY