KUALA LUMPUR, JAN 16: SALAH CETAK….. Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan ralat bagi meminda satu infografik dalam buku teks Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tahun Tiga, berhubung topik gangguan seksual.

Perkara itu dimaklumktan timbalan menterinya Teo Nie Ching susulan rungutan berhubung infografik itu yang didakwa boleh ditafsirkan sebagai menyalahkan mangsa gangguan seksual.

“Kementerian pendidikan yang menerima maklum balas mengenai infografik itu semalam (14 Januari) telah mengambil tindakan segera untuk membetulkannya.

“Kami memutuskan untuk menambah baik kandungan buku itu dengan menyediakan ralat dalam bentuk kod QR, yang akan dimuat naik pada 17 Januari (hari ini), untuk makluman guru, murid dan ibu bapa. Ralat dalam bentuk pelekat juga akan diedar ke semua sekolah berkenaan mulai 29 Januari.

“Surat makluman berkaitan hal ini akan dikeluarkan dan dipanjangkan ke semua sekolah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau memaklumkan buku teks itu dibekalkan untuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tambil (SJKT) untuk digunakan pada tahun ini.

Semalam beberapa pihak membangkitkan satu halaman dan infografik berhubung cara menjaga kehormatan sosial melibatkan seorang watak bernama Amira.

Menurut halaman itu, ibu bapa Amira dinyatakan sentiasa berpesan agar dia menjaga kehormatan seksual dengan berpakaian sopan, menutup pintu ketika menukar pakaian dan mengelak berada di tempat sunyi seorang diri.

Halaman itu juga menyatakan akibat yang mungkin terjadi jika gagal berbuat demikian – mendapat malu dan emosi terganggu, tidak disukai rakan, dan menyebabkan maruah keluarga tecalar.

Individu bernama Azrul Mohd Khalib – yang membangkitkan perkara itu – menyifatkan apa yang menurutnya sebagai “menyalahkan mangsa” itu sebagai tidak boleh diterima.

“Ia meletakkan tanggungjawab mengelakkan gangguan seksual kepada perempuan (mangsa) semata-mata… Menyalahkan kanak-kanak ini tidak boleh diterima,” katanya di Twitter.-MY WD