KUALA LUMPUR,OGOS 7:SALAHKAH…SALAHKAH Haqiem Rusli, 20, menjelaskan tindakannya ‘merampas’ mikrofon peserta program, I Can See Your Voice Malaysia yang bersiaran Sabtu lalu sekadar gurauan dan bukan sengaja mencetuskan kontroversi.

Haqiem atau nama penuhnya, Ridzuan Haqiem Rusli berkata, dia berbuat demikian untuk menghidupkan program itu, tetapi tidak menyangka tindakannya itu disalahertikan hingga membangkitkan kemarahan ramai.

“Ia program hiburan dan saya cuma mahu bergembira dengan bergurau. Tidak sangka pula netizen tidak boleh menerima cara gurauan saya itu.

“Ketika insiden itu, artis lain turut sama bergurau dan meminta saya membetulkan nyanyian peserta terbabit. Saya pergi sekadar untuk bergembira dan tidak berniat mahu mengenakan sesiapa,” katanya.

Dalam program terbaharu siaran ntv7 itu, seorang peserta menyanyikan lagu, Tergantung Sepi yang dipopularkan Haqiem dengan nada sumbang.

Suasana menjadi riuh apabila penonton dan panel juri termasuk Haqiem ketawa melihat cara nyanyian peserta itu. Haqiem seterusnya berdiri dan mengambil mikrofon daripada peserta dan menyanyikan semula lagu itu.

Tindakan Haqiem itu, bagaimanapun mengundang perasaan kurang senang netizen yang menganggap perbuatannya itu seolah-olah mahu mencuri perhatian umum.

Sementara itu, Haqiem berkata, dia mengambil pendekatan positif dan tidak menghiraukan lagi kecaman netizen.

“Saya sudah tak kisah dan lali dengan kecaman kerana pernah dihentam lebih teruk sebelum ini. Lebih baik saya berfikiran positif, selagi ia tidak mengganggu perjalanan karier saya.

“Cuma saya pelik, kecaman sering diberikan di laman sosial. Tetapi apabila saya membuat persembahan, ramai yang bersorak dan memenuhi pentas.

“Saya ternanti-nanti saat mereka yang membenci datang dan meluahkan apa yang terbuku di hati. Saya juga ingin tahu mengapa mereka begitu membenci hingga saya selalu dihentam di laman sosial,” katanya.-MY WD